Thursday

Selamat Hari Raya Aidil Adha



Alhamdulillah.

Pada 8 Disember 2008 , kita menyambut 'Idul Adha. Satu hari raya yang banyak pengajarannya buat kita. Umat Islam di Mekah al-Mukarramah pada hari itu sedang sibuk dengan urusan kerja-kerja ibadat haji, samada sedang membuat lontaran jamrah aqabah di Mina atau sedang melakukan Tawaf di Baitullah dan Sa'ie atau ibadat-ibadat yang lainnya.

Dan pada tanggal 9 Zulhijjah, mereka berwukuf di Padang Arafah dengan pakaian ihram serba putih melambangkan ketulusan hati, sama-sama menyahut panggilan Ilahi, mengagungkan Allah S.w.t. dan kepadanya berserah diri dengan melafazkan talbiah yang menusuk jantung hati. Sabda Nabi Muhammad S.A.W :

Bermaksud : " Ibadat Haji itu kemuncaknya ialah wukuf di Arafah. "

Sesungguhnya Aidiladha sama kelebihannya dengan Aidilfitri, betapa tidak, kerana Aidilfitri lebih merupakan hari kemenangan bagi diri individu, yang berjaya menundukkan nafsu selama sebulan. Manakala Aidiladha mengandungi kisah sejarah tiga manusia agung, yang sepatutnya di contohi oleh segenap lapisan masyarakat, terutama para pemimpin, ibu bapa dan para remaja, demi membina sahsiah diri dan seterusnya meraih kecemerlangan demi kecemerlangan.

Tiga manusia agung yang di maksudkan tadi ialah : Nabi Ibrahim sebagai bapa, Hajar sebagai isteri solehah yang bertakwa kepada Allah dan ibu penyayang, mempunyai kesabaran luar biasa yang tiada tolok bandingnya dan seorang lagi ialah Nabi Allah Ismail sebagai anak soleh yang berjiwa takwa, berjiwa tawakal hingga sanggup disembelih oleh bapanya demi menjunjung titah perintah Allah azzawajalla.

Pekomperi ingin mengajak sahabat-sahabat merenung Al-Kausar :1-3,

Bermaksud :" Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhamad) kebaikan-kebaikan yang banyak (didunia dan diakhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang-orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)".

Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman,maksud korban itu bukanlah sekadar terhad kepada menyembelih binatang korban sahaja, bahkan meliputi segala jenis pengorbanan untuk kebaikan masyarakat.

Bertitik tolak daripada ayat ini, hendaklah kita sentiasa memiliki jiwa ingin berkorban di jalan Allah, walau dari sekecil-kecil pengorbanan sehinggalah sebesar-besar pegorbanan. Sesungguhnya, tarbiyah dalam diri perlu ditingkatkan kerana hanya dengan memiliki tarbiyah diri yang utuh mampu melahirkan insan-insan yang sanggup berkorban seluruh jiwanya untuk Islam.

Pekomperi mengucapkan Selamat Menyambut Hari 'Idul Adha.

كل عام وانتم بخير بحلول عيد الاضحى المبارك

0 ulasan?: